Saturday, February 19, 2011

KEBERKESAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MELALUI PENYELIDIKAN TINDAKAN

Adakah guru seorang profesional? Jika guru adalah seorang profesional, sama seperti profesional lain, guru perlu mempunyai iltizam untuk berkhidmat terhadap keperluan dan kehendak kliennya, dan mempunyai tanggungjawab untuk menambahkan ilmu kepada komuniti pendidikan. Sehubungan dengan ini,kebolehpercayaan terhadap guru boleh bertambah dan dipertingkat. Untuk mencapai matlamat itu guru sepatutnya berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan guru-guru lain, dan jika tidak boleh semua,sekurang-kurangnya separuh daripada para guru, dan seterusnya melibatkan diri dalam pengajian lanjutan dan penyelidikan.
Dalam bidang akademik, sokongan terhadap penyelidikan tindakan adalah positif sebagai satu cara efektif untuk mengubah amalan dalam bilik darjah.Untuk menjalankan kajian tindakan guru selalunya memerhati situasi dalam bilik darjahnya, mengenalpasti masalah, memikirkan apa dan bagaimana untuk mengubah, membuat perubahan, menilai kesan perubahan ke atas situasi, berkongsi maklumat dengan rakan-rakan seperjuangan, dan dengan itu kitaran penyelidikan akan mula berkitar semula.Guru, jangan menjadi seolah-olah sebagai " kayu yang sudah mati " mereput di dalam dan tidak mendatangkan faedah kepada diri sendiri ataupun pelajar. Bertindak sebagai seorang profesional yang sentiasa dinamis dan mencari jalan untuk memperbaiki diri, pengajaran dan amalan bagi kebaikan pelajarnya.
Petik dari buku << Amalan Pengajaran Berkesan >> oleh Rahil Mahyuddin, Habibah Elias dan Kamariah Abu Bakar.

Tuesday, February 8, 2011

Penyelidikan Tindakan dalam Profesionalisme Keguruan

Profesion keguruan perlu mengorak langkah ke hadapan dengan mementingkan penyelidikan, mengembangkan pengetahuan tentang penyelidikan dan menggunakan dapatan penyelidikan bagi memperbaiki dan menangani pelbagai isu dan masalah yang dihadapi, khususnya di peringkat sekolah. Setiap hari, sekolah menghadapi berbagai-bagai masalah sama ada berkaitan dengan pengajaran, pembelajaran, masalah disiplin dan tingkah laku, ponteng sekolah, sikap dan minat murid, hubungan guru-murid,masalah sosial, jangkaan murid, peranan dan kepimpinan guru, penggunaan kemudahan sekolah, hubungan sekolah dengan ibu bapa, jangkaan dan persepsi ibu bapa terhadap sekolah, keberkesanan sesuatu rancangan dan sebagainya yang boleh dijadikan permasalahan kajian dan mendorong kajian dilakukan oleh guru-guru.
Berbeza dengan profesion sosial yang lain, profesion keguruan mempunyai alasan dan sebab yang begitu kukuh bagi meluaskan penyelidikan. Ini termasuklah penekanan dalam pengurusan dan perkembangan pendidikan seperti pelaksanaan ISO, jaminan kualiti( SPSK ), kepuasan pelanggan ( ibu bapa dan murid ) perancangan prestasi,pelunjuran pencapaian akademik sekolah dan " appraisal" guru. Penyelidikan merupakan nadi bagi kemajuan dan perubahan sekolah. Penyelidikan asas atau mudah boleh dilakukan bagi mendapatkan maklumat asas tentang sesuatu keadaan dan perkembangan yang berlaku.Penyelidikan bukan cara yang dapat menyelesaikan masalah, namun penyelidikan dapat membantu dalam melihat masalah secara lebih terancang dan sistematik supaya penyelesaian masalah itu dapat dibuat dengan lebih berkesan.Jadi, pembudayakan penyelidikan yang menyeluruh perlu supaya penyelidikan dapat dijadikan amalan yang membantu dalam membuat keputusan serta tindakan yang lebih baik.