Tuesday, February 8, 2011

Penyelidikan Tindakan dalam Profesionalisme Keguruan

Profesion keguruan perlu mengorak langkah ke hadapan dengan mementingkan penyelidikan, mengembangkan pengetahuan tentang penyelidikan dan menggunakan dapatan penyelidikan bagi memperbaiki dan menangani pelbagai isu dan masalah yang dihadapi, khususnya di peringkat sekolah. Setiap hari, sekolah menghadapi berbagai-bagai masalah sama ada berkaitan dengan pengajaran, pembelajaran, masalah disiplin dan tingkah laku, ponteng sekolah, sikap dan minat murid, hubungan guru-murid,masalah sosial, jangkaan murid, peranan dan kepimpinan guru, penggunaan kemudahan sekolah, hubungan sekolah dengan ibu bapa, jangkaan dan persepsi ibu bapa terhadap sekolah, keberkesanan sesuatu rancangan dan sebagainya yang boleh dijadikan permasalahan kajian dan mendorong kajian dilakukan oleh guru-guru.
Berbeza dengan profesion sosial yang lain, profesion keguruan mempunyai alasan dan sebab yang begitu kukuh bagi meluaskan penyelidikan. Ini termasuklah penekanan dalam pengurusan dan perkembangan pendidikan seperti pelaksanaan ISO, jaminan kualiti( SPSK ), kepuasan pelanggan ( ibu bapa dan murid ) perancangan prestasi,pelunjuran pencapaian akademik sekolah dan " appraisal" guru. Penyelidikan merupakan nadi bagi kemajuan dan perubahan sekolah. Penyelidikan asas atau mudah boleh dilakukan bagi mendapatkan maklumat asas tentang sesuatu keadaan dan perkembangan yang berlaku.Penyelidikan bukan cara yang dapat menyelesaikan masalah, namun penyelidikan dapat membantu dalam melihat masalah secara lebih terancang dan sistematik supaya penyelesaian masalah itu dapat dibuat dengan lebih berkesan.Jadi, pembudayakan penyelidikan yang menyeluruh perlu supaya penyelidikan dapat dijadikan amalan yang membantu dalam membuat keputusan serta tindakan yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment