Wednesday, January 19, 2011

Membudayakan Guru Sebagai Penyelidik

Meluaskan penyelidikan tindakan adalah satu prasyarat yang penting dalam mencorakkan perubahan dan perkembangan profesion keguruan pada abad ke 21. Langkah menggalakkan guru dan ahli profesion menjalankan penyelidikan akan membawa suatu perubahan dinamik ke arah meningkatkan status profesion keguruan di negara kita, di samping menjadikan profesion ini sebagai profesion termaju menyaingi profesion keguruan di negara-negara maju. Langkah ini selari dengan wawasan pendidikan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau Asia dan menekankan pendidikan sebagai satu kriteria membina imej Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Budaya menyelidik mampu meningkatkan keberkesanan guru dan seterusnya dapat menyumbang pada kualiti pendidikan . Dalam konsep pendemokrasian penyelidikan konsep guru sebagai penyelidik ini mula berakar umbi dalam kalangan guru di negara kita. Penglibatan guru dalam penyelidikan terutama penyelidikan tindakan perlu dijadikan amalan harian.Penyelidikan tindakan akan membina kekuatan profesionalisme keguruan dan membentuk guru yang lebih profesional dalam melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan organisasi sekolah.

No comments:

Post a Comment